Tutup

"PKR dibina dengan air mata, jangan rosakkannya" - pesan Dr Wan Azizah pada ahli

"PKR dibina dengan air mata, jangan rosakkannya" - pesan Dr Wan Azizah pada ahli
Deklarasi Permatang Pauh perlu dijadikan pegangan agar kuasa yang dinikmati sekarang tidak akan menjadikan ahli lalai serta mengabaikan rakyat. - Gambar BERNAMA
AYER KEROH: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk terus menghayati "Deklarasi Permatang Pauh" bagi memastikan mereka tidak tergelincir dari asas perjuangan parti.

Pengerusi Majlis Penasihat PKR itu berkata, Deklarasi Permatang Pauh itu perlu dijadikan pegangan agar kuasa yang dinikmati sekarang tidak akan menjadikan mereka lalai serta  mengabaikan rakyat.
“Ketahuilah bahawa parti ini bermula dengan gerakan rakyat bangkit menuntut keadilan terhadap kezaliman pemerintah ke atas (Presiden) Anwar Ibrahim. Menuntut keadilan dalam sistem kehakiman dan institusi awam.

“Kini, Alhamdulillah setelah 20 tahun, hasilnya parti ini berjaya melahirkan sebarisan kepemimpinan dan tokoh besar yang kini menerajui sebuah negara dengan aspirasi baharu,” kata Dr Wan Azizah.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap menutup Kongres Nasional Tahunan Wanita dan Angkatan Muda Keadilan 2019, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, di sini hari ini.

Deklarasi Permatang Pauh itu, antara lain, menyebut mengenai prinsip menegakkan keadilan untuk semua, yang kuat, lemah, kaya, miskin, membersihkan institusi dan proses undang-undang daripada dicemari penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Berucap lanjut, Dr Wan Azizah berkata, sejarah parti tidak pernah sunyi daripada pergolakan dalaman, terutamanya pertembungan sengit pada pemilihan parti 2018, ketika Keadilan berada di puncak kuasa.

“Pada masa itu saya merasakan bahawa parti ini seolah-olah tidak lagi seperti parti yang pernah saya pimpin sejak 1999. Ketika (pemilihan) itu, sahabat sudah dilihat umpama musuh yang perlu dinyahkan daripada parti.

“Saya takut parti yang kita bina dengan keringat dan air mata, dengan segala kepayahan dan derita akhirnya dimusnahkan dengan budaya rosak yang diciplak daripada parti musuh yang sudah rosak dan usang,” kata Dr Wan Azizah.

Bagaimanapun, kata beliau lagi, keadaan dinamika Keadilan yang menjadikan parti itu terus kukuh, relevan dan terbesar dalam Pakatan Harapan sehingga berjaya merentasi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.


Tag: Wan Azizah Wan Ismail, Pengerusi Majlis Penasihat PKR, PKR, Parti Keadilan Rakyat, KongresPKR2019



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.