Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini menafikan khabar angin bahawa peserta himpunan #KitaLawan telah dibayar oleh parti induknya, PKR.

Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad menolak dakwaan tersebut sambil mengatakan ianya tidak wujud sama sekali.

“Apa yang kami lakukan hanya lah menggerakkan jentera dan mengajak orang ramai untuk turun menyertai himpunan itu.

“Tetapi kami tidak pernah menawarkan apa-apa insentif kewangan,” katanya di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya pada Rabu.

Baru-baru ini sebuah ‘surat’ yang didakwa datang dari Pejabat Setiausaha Agung PKR, telah tersebar di internet termasuk beberapa laman blog.

Kandungan surat itu mengatakan bahawa setiap peserta demo telah dibayar RM150 sebagai elaun perjalanan, manakala RM500 untuk elaun penginapan setiap cabang.

Surat PKR

Menurut Naib Ketua AMK, Fahmi Fadzil, terdapat beberapa kecacatan pada imej ‘surat’ tersebut termasuk kepala surat yang tidak muncul pada mukasurat kedua.

“Saya hendak jelaskan di sini bahawa tiada surat dikeluarkan, dan siapa yang menghantarnya mempunyai niat buruk,” katanya.

Terdahulu, AMK dalam sidang media telah menyatakan sokongan penuh terhadap himpunan #KitaLawan yang bakal diadakan Sabtu ini, 7 Mac 2015 di kompleks beli belah Sogo di ibu kota.

Nik Nazmi berkata, kepimpinan AMK akan akan berkumpul di Masjid Jamek, iaitu salah satu dari tiga lokasi di mana dua lokasi yang lain adalah di Pasar Seni dan Ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut.

“Angkatan Muda KEADILAN turut mempelawa seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan, yang mahu menegakkan kebenaran, dan yang menginginkan masa depan yang lebih baik untuk negara kita untuk hadir di perhimpunan aman ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengarah strategik AMK, Akmal Nasir memaklumkan, himpunan itu akan bermula jam 3.00 petang dan peserta digalakkan memakai baju hitam.