Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah MAEPS (PKRC), Serdang akan ditamatkan operasinya secara rasmi pada 15 Julai ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba telah menyaksikan proses pesakit terakhir discaj pada Jumaat.

“Sehingga 10 Julai 2020, PKRC telah berjaya merawat seramai 1,362 orang pesakit di mana majoriti adalah orang bukan warganegara (86 peratus) dan 14 peratus adalah warganegara
Malaysia,” katanya pada sidang media KKM, di sini hari ini.

Jelas Dr Noor Hisham, PKRC Serdang ini diilhamkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai salah satu langkah proaktif kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19 di negara ini.

Ia telah mula beroperasi secara rasmi pada 16 April 2020 dan mula menerima pesakit pertama pada 21 April 2020.

Ia merupakan kolaborasi pelbagai agensi yang diterajui oleh KKM dan melibatkan pelbagai agensi termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Markas Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham memaklumkan pihak KKM mengucapkan terima kasih kepada semua barisan hadapan daripada semua agensi yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan perlaksanaan operasi pusat ini.