Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadualkan membuat pengumuman berhubung lanjutan moratorium dan pendekatan bantuan bersasar pada pukul 3 petang ini.

Pengumuman itu akan disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen RTM, Bernama TV, TV3 dan Astro AWANI.

Isnin lepas, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata nilai moratorium yang telah diberi setakat 20 Julai adalah mencecah RM59 bilion dan secara keseluruhannya moratorium itu telah memberi manfaat kepada 7.7 juta rakyat Malaysia yang merangkumi 93 peratus peminjam individu.

Beliau berkata penangguhan pembayaran balik pinjaman atau pembiayaan yang berkuat kuasa pada 1 April itu merupakan sebahagian langkah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang bertujuan menguruskan kesan COVID-19.

Tujuan moratorium itu, yang merupakan matlamat ketiga PRIHATIN (memperkukuh ekonomi), adalah membantu meringankan beban rakyat dan perniagaan dalam tempoh enam bulan dan ia akan berakhir pada September 2020, katanya.

Justeru, bank-bank kini mula mendapatkan kerjasama daripada peminjam untuk pendekatan yang lebih bersasar.

Tengku Zafrul juga dilaporkan berkata bagi tempoh enam bulan moratorium yang diberikan secara keseluruhan, jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM6.4 bilion yang bersamaan dengan pengurangan kapasiti bank itu sendiri untuk memberi pinjaman baharu sebanyak RM79 bilion,

Bagi tempoh enam bulan moratorium, jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM6.4 bilion manakala sistem perbankan negara dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM1.06 bilion setiap bulan tempoh moratorium yang dilanjutkan mengikut Standard Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 9.

-- BERNAMA