Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merasmikan upacara pecah tanah bagi projek laluan kedua Aliran Transit Massa (MRT) iaitu laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP).

Berucap pada majlis di Putrajaya Sentral di sini, Datuk Seri Najib berkata bermulanya pembinaan laluan kedua ini ialah manifestasi kesungguhan kerajaan melaksanakan transformasi besar dalam pengangkutan awam.

"Sebelum ini kita kurang memberi fokus terhadap membangunkan pengangkutan awam menyebabkan kita terpaksa menanggung seksa daripada apa yang berlaku hari ini.

"Sebagai Perdana Menteri, saya akan terus memberikan tumpuan penuh kepada permodenan infrastruktur pengangkutan awam, selaras janji pentadbiran iaitu 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'," kata Datuk Seri Najib.

Beliau dalam pada itu berharap projek ini dan seumpamanya dapat dipastikan siap mengikut jadual serta peruntukan yang telah ditetapkan.

Tegasnya, kepuasan pelanggan perlu dipastikan berada pada tahap tertinggi dalam mengukuhkan kebolehpercayaan rakyat terhadap pengangkutan awam di negara ini.

Selain bakal memudahkan pergerakan dan memendekkan waktu perjalanan antara bandar, pembinaan sistem pengangkutan awam canggih seperti MRT dilihat secara tidak langsung dapat melonjak kualiti kehidupan, seterusnya menjadikan Kuala Lumpur dan Putrajaya bandar berkelas dunia.

Laluan SSP yang memakan kos pembinaan RM32 bilion itu dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada 2022, dengan fasa pertama (Sungai Buloh - Kg Batu) pada suku kedua 2021 sementara fasa kedua (Kg Batu - Putrajaya Sentral) pada suku kedua 2022.

Ia bakal membentuk 37 stesen, 11 daripadanya berada di bawah tanah dengan 58 buah tren beroperasi.

Waktu perjalanan dari Sungai Buloh ke Putrajaya di atas rel sepanjang 52.2 kilometer itu dianggarkan mengambil masa 84 minit, dengan kadar pengguna harian sebanyak 529,000 penumpang dan bakal memberi manfaat kepada kira-kira 2 juta penduduk sekitar.