Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak individu-individu yang namanya disebut dalam laporan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) untuk membersihkan nama mereka.

Beliau pada masa sama juga mahu individu-individu tersebut untuk bertanggungjawab atas tindakan yang dilakukan oleh mereka.

Tegas Datuk Seri Najib, kerajaan berpegang dengan prinsip untuk memastikan tiada wang rakyat disalahgunakan oleh mana-mana pihak.

"Sebab itu bila keluar laporan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ), Kerajaan tetap memandang berat atas perkara ini dan mahu supaya siapa yang dinamakan itu mengambil tanggungjawab bersihkan nama mereka.

"Pastikan tiada wang rakyat disalahgunakan. Inilah prinsip kita. Kita harap, lambat laun kita akan tahu kebenarannya.

"Dalam pada itu, marilah kita jangan terlalu terbawa-bawa dalam soal ini. Kita buat urusan kita dan kita serahkan proses ini berjalan mengikut proses keadilan yang sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Fardhu Haji, Program Khas Haji YAB Perdana Menteri, Yayasan 1MDB, di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini hari ini.

Tambah Datuk Seri Najib lagi, Kerajaan Malaysia akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam urusan tersebut.

Selain itu, beliau menegaskan usaha memantapkan kedudukan syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan terus dilaksana.

"Dalam pada itu, usaha untuk memantapkan lagi kedudukan 1MDB akan kita lakukan. InsyaAllah, saya yakin dan percaya masa yang terdekat ini, kedudukan 1MDB akan lebih mantap dan lebih kukuh lagi.

"Bila lebih mantap dan lebih kukuh, akan ada lebih banyak lagi program sosial termasuk program jemaah haji, InsyaAllah pada masa-masa akan datang," kata Datuk Seri Najib.

Pada majlis itu, seramai 1,100 jemaah haji tajaan Yayasan 1MDB menerima surat tawaran daripada Datuk Seri Najib.

Yayasan itu membelanjakan RM10.4 juta untuk menghantar jemaah haji tajaannya pada tahun ini selain subsidi kerajaan bernilai RM8,000 bagi setiap seorang jemaah.