Perdana Menteri mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa dan menyambut bulan Ramadan al-Mubarak yang bermula esok, kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

Datuk Seri Najib Tun Razak juga turut mendoakan semoga negara akan sentiasa dirahmati, mendapat barakah dan maghfirah yang dijanjikan Allah SWT pada bulan Ramadan ini.

"Alhamdulillah, bulan yang dinanti-nantikan oleh umat Islam telah pun tiba. Kedatangan Ramadan al-Mubarak memang cukup bermakna untuk kita umat Islam tidak kira di Malaysia mahupun di serata dunia," katanya dalam catatan terbaru di laman Facebook dan Twitternya pada Jumaat.


Katanya dalam bulan inilah diturunkan kitab suci al-Quran sebagai bimbingan serta panduan buat umat Islam, selain untuk menggandakan amal ibadat dengan berpuasa, menunaikan solat terawih, mempamerkan kesabaran dan istiqamah, serta memupuk sifat muhasabah dan kemurahan hati sepanjang 30 hari.

Di Malaysia, beliau berkata bulan Ramadan bukan sahaja disambut oleh umat Islam, malah kemeriahan berbuka puasa bersama-sama telah menjadi sebahagian daripada cara hidup rakyat di negara ini.

"Setiap hari, ukhuwah sesama kita dirapatkan lagi dengan pelbagai aktiviti yang memupuk semangat perpaduan. Sikap hormat-menghormati sesama rakyat Malaysia terhadap amalan keagamaan atau budaya orang lain tetap menjadi kebanggaan kita di serata dunia.

"Semoga Ramadan tahun ini mengangkat lagi tahap ketakwaan kita sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 183: "Wahai orang yang beriman, diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada umat terdahulu agar kamu bertakwa"," katanya lagi.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad malam ini mengumumkan bahawa tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada Sabtu, 27 Mei 2017, bagi mengikut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

-- BERNAMA