Tutup

PM tiba di Azerbaijan bagi hadiri Sidang Kemuncak NAM ke-18

PM tiba di Azerbaijan bagi hadiri Sidang Kemuncak NAM ke-18
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mendarat di Lapangan Terbang Heydar Aliyev kira-kira jam 7.15 petang waktu tempatan. - Foto ihsan PMO
BAKU, AZERBAIJAN: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18, yang dijadual membuka tirai pada 25 dan 26 Oktober.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Heydar Aliyev kira-kira jam 7.15 petang waktu tempatan (11.15 malam waktu Malaysia).
Ketibaan Perdana Menteri disambut oleh Timbalan Perdana Menteri Azerbaijan, Shahin Mustafayev dan Duta Besar Azerbaijan ke Malaysia, Prof Dr Qaley Allahverdiyev.

Turut mengalu-alukan ketibaan beliau adalah Duta Besar Malaysia ke Azerbaijan, Datuk Yubazlan Yusof dan isteri; serta Setiausaha Pertama, Azri Hazwani Abdul Aziz.
Sebelum itu, penerbangan Dr Mahathir dilaporkan mengalami kelewatan selama sejam berbanding jadual ketibaan asal.

Pada masa sama, beberapa delegasi media Malaysia turut menunggu ketibaan Dr Mahathir di sebuah hotel penginapannya di ibu kota Azerbaijan.

Sepanjang dua hari menghadiri Sidang Kemuncak NAM di sini, pemimpin berusia 94 tahun itu dijadual mempunyai jadual padat.

Pada pagi 25 Oktober, Dr Mahathir akan menghadiri temu ramah bersama sebuah media saluran Islam, sebelum menyertai kira-kira 22 pemimpin pada majlis pembukaan Sidang Kemuncak NAM-ke 18 di Pusat Kongres Baku.

Difahamkan, Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucaptama pada sesi Debat Umum pada pukul 3.30 petang (7.30 malam waktu Malaysia).

Kenyataan Malaysia yang akan disampaikan Dr Mahathir selari dengan tema Sidang Kemuncak NAM kali ini iaitu 'Berpegang Kepada Prinsip Bandung Bagi Memastikan Tindak Balas Konkrit dan Mencukupi Terhadap Cabaran Kontemporari Dunia'.

Prinsip Bandung diambil sempena Persidangan Bandung yang diadakan di Indonesia pada 1955 dan dijadikan konsep asas kepada NAM.

Ia juga sebagai landasan kepada pergerakan NAM, yang antaranya memperjuangkan rasa hormat terhadap kedaulatan dan intergriti semua negara.

Selepas 16 tahun, ini merupakan kali pertama kemunculan Dr Mahathir pada Sidang Kemuncak NAM selepas menjadi Perdana Menteri ketujuh.

Kali terakhir Dr Mahathir menyampaikan ucaptama pada pentas ini adalah ketika Malaysia menjadi pengerusi NAM pada tahun 2003 di Kuala Lumpur.

Sementara kali terakhir Perdana Menteri Malaysia menghadiri Sidang Kemuncak NAM ialah pada 2009 di Sidang Kemuncak di Mesir, ketika di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Dalam perkembang sama, selepas selesai menyampaikan ucaptama, Dr Mahathir dijangka mengadakan pertemuan dengan Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev, selain permohonan daripada beberapa pemimpin negara bagi mengatur perjumpaan dengan beliau.

Setakat ini, Presiden Pakistan, Arif Alvi dan Presiden Iran, Hassan Rouhani mengesahkan mengadakan mesyuarat bilateral bersama Dr Mahathir.

Selain itu, Dr Mahathir dijadual membuat kunjungan ke kompleks rumah hijau, Greentech Farm pada 26 Oktober, sebelum dijadual melawat pejabat Petronas di Baku.

Pada sebelah petang pula, pemimpin paling veteran itu dijadual menyampaikan ucapan dan mengadakan sesi dialog bersama diaspora Malaysia, sebelum mengadakan sidang media bersama delegasi media Malaysia.

Sejurus itu, Dr Mahathir dijadual berlepas ke Ashgabat bagi menghadiri lawatan kerja dua hari ke Turkmenistan.




Tag: PM tiba Azerbaijan, Perdana Menteri, Mahathir Mohamad, Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali, NAM, Siti Hasmah Mohd Ali, Lapangan Terbang Heydar Aliyev, Shahin Mustafayev, Ilham Aliyev



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.