Pencapaian keseluruhan Purata Nilai Gred Keseluruhan Nasional (PNGK) Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2017 terus meningkat dengan mencatat PNGK 2.76 berbanding 2.71 pada 2016.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Mustafa Ishak memberitahu, ia keputusan memberangsangkan dalam kesemua kriteria pengukuran selain peningkatan berbanding tahun lepas.

Katanya, peningkatan itu membabitkan PNGK Nasional, PNGK 3.50 ke atas, PNGK 3.00 ke atas, PNGK 2.75 ke atas, PNGK 2.50 ke atas, PNGK 2.00 ke atas, peningkatan peratus lulus penuh pada lima dan empat mata pelajaran dan peratus lulus penuh dalam sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dengan gred C ke atas.

“Bilangan calon yang memperoleh PNGK 3.50 ke atas bertambah kepada 6,408 calon iaitu 14.89 peratus berbanding 6,137 calon (14.20 peratus) pada 2016.

“Peratusan calon yang mendapat PNGK 3.00 ke atas juga meningkat kepada 40.48 peratus (17,423 calon) pada 2017 berbanding 37.62 peratus (16,263 calon) pada 2016.


“Bagaimanapun, peratusan calon mendapat PNGK 4.00 sedikt menurun iaitu kepada 1.13 peratus atau 485 calon berbanding 1.31 peratus (565 calon) pada 2016," katanya semasa pengumuman keputusan STPM 2017 di sini, hari ini.

Seramai 43,042 calon telah menduduki peperiksaan STPM 2017 di 700 buah pusat di seluruh negara.

Sebanyak 42,694 orang (99.19 peratus) merupakan calon sekolah kerajaan, 204 orang (0.47 peratus) calon sekolah swasta, 136 orang (0.32 peratus) calon persendirian dan lapan orang (0.02 peratus) ialah calon sekolah kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Mohamed Mustafa menjangkakan, peluang lepasan STPM 2017 untuk diterima masuk ke universiti awam adalah lebih besar kerana peningkatan dan bilangan calon yang mendapat PNGK 2.75 ke atas adalah tinggi iaitu 55.19 peratus berbanding 51.83 peratus pada 2016.