Pokok ketum boleh ditanam secara komersial jika nilai perubatannya dibuktikan secara saintifik dan mempunyai permintaan tinggi di luar negara, kata Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata ini bagi mengelakkan tanaman itu disalahgunakan kerana pengambilan air ketum yang berlebihan boleh memudaratkan kesihatan selain menyebabkan ketagihan.

Azlan berkata walaupun daun ketum diakui mempunyai nilai perubatan tertentu dan digunakan secara tradisi untuk mengubati beberapa jenis penyakit tetapi kajian saintifik mengenai nilai-nilai perubatan tumbuhan itu tidak pernah dibuat.

"Saya tidak pasti jika ada pihak di dalam atau luar negara pernah menjalankan kajian saintifik termasuk menerbitkan jurnal atau mengeluarkan laporan mengenai daun ketum," katanya kepada Bernama pada jamuan Aidilfitri Dewan Undangan Negeri Pauh di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Pengerusi RISDA Datuk Zahidi Zainul Abidin memohon kebenaran kerajaan untuk menanam pokok ketum secara komersial bagi menambah pendapatan pekebun.

Dalam kenyataannya di Kuala Nerus, Terengganu semalam, Zahidi berkata daun ketum yang didakwa mempunyai nilai perubatan tinggi akan dieksport ke Amerika Syarikat dan Eropah kerana mendapat permintaan tinggi dari syarikat farmasi di sana.

"Sekiranya ada (maklumat mengenai permintaan dari negara luar), mesti ada tindakan untuk memastikan daun ketum yang ditanam secara komersial tidak disalahgunakan," kata Azlan.

Beliau berkata pada masa ini hanya Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diberi kebenaran khas untuk menanam pokok ketum secara terkawal bagi tujuan penyelidikan termasuk kesan, khasiat dan nilai-nilai perubatan secara saintifik.

Katanya beliau tegas dalam isu daun ketum kerana tumbuhan itu sentiasa disalahgunakan dan dapatan awal kajian Jabatan Pendidikan Perlis mendapati pelajar yang meminum air ketum mengalami kesan negatif seperti ketagihan.

"Secara tidak langsung daun ketum adalah punca pelajar ponteng sekolah dan kemerosotan prestasi mereka. Sebab itu saya mahu pengambilan air ketum yang memudaratkan kesihatan dikekang supaya tidak menjejaskan pelajar," katanya.