Tutup

Polis akan batalkan 7,000 lesen senjata api

Polis akan batalkan 7,000 lesen senjata api
Abdul Hamid Bador berkata, PDRM sudah kenal pasti beberapa individu yang menjual nama VVIP untuk kegiatan pemburuan haram. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam proses untuk menarik balik kesemua lesen senjata api terhadap hampir 7,000  pemilik lesen yang akan melalui proses tapisan serta mengkaji semula pemegang lesen berkenaan yang menggunakan untuk tujuan aktiviti pemburuan haram.

Selain itu, PDRM juga, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sudah mengenal pasti beberapa individu yang ‘menjual nama’ VVIP untuk kegiatan pemburuan haram.
Menurut beliau, aktiviti pemburuan haram bukan lagi sesuatu perkara yang diperlukan.

"Saya bagi amaran kepada semua pemburu, saya bersama bahagian perlesenan senjata api akan lakukan semakan dan pantau kawasan 'hotspot' memburu sebelum kita tarik semula lesen secara berperingkat.
"Zaman sekarang tiada keperluan lagi memburu dan untuk yang jaga tanaman saya tak galakkan untuk tembak, gunalah cara lain," katanya dalam sidang media Op Bersepadu Khazanah di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini pada Rabu.

Dalam perkembangan lain, Op Khazanah, kata beliau, telah menerima penglibatan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam usaha dan kerjasama membanteras aktiviti pemburuan haram.

Berdasarkan statistik Op Bersepadu Khazanah bagi tahun 2019, sebanyak 56 kes telah direkodkan dengan tangkapan seramai 102 individu yang ditahan atas pelbagai kesalahan selain turut berjaya memusnahkan sebanyak 460 unit jerat pemburu haram.

Turut hadir, Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.


Tag: lesen senjata api, pemburuan haram, PDRM, polis, Abdul Hamid Bador



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.