Operasi menjejaki Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos dan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yang dipercayai melarikan diri ke luar negara akan terus dipergiatkan, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan terus mempergiatkan usaha mengesan dua individu terbabit.

“Kita percaya kedua-dua individu ini telah meninggalkan negara ini. Justeru itu kita akan bekerjasama dengan polis luar termasuk Interpol bagi mengesan kedua-kedua mereka ini,” katanya selepas menyertai Operasi Bersepadu JIM di Jalan Petaling di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau juga menasihatkan Jamal dan Musa agar menyerah diri kerana pihak berkuasa akan mendapatkan dua individu terbabit tidak kira di mana mereka berada.

Dalam pada itu Muhyiddin turut meluahkan rasa kecewanya atas kecuaian pihak polis hingga menyebabkan Jamal boleh melarikan diri dari hospital.

Katanya, beliau telah mengarahkan Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun agar memastikan perkara seumpama itu tidak berlaku lagi selepas ini.

"Saya rasa kecewa, macam kes Jamal, macam mana dia boleh terlepas lari dari hospital. Saya kesal ia terjadi. (Itu) bermakna ada kecuaian dan saya tak boleh biarkan perkara itu berlaku," katanya lagi.

Mohamad Fuzi sebelum ini mengesahkan waran tangkap terhadap Jamal telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ampang hari ini.

Waran itu dikeluarkan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan iaitu melarikan diri daripada tahanan yang sah.

Pada Jumaat lepas, Jamal dilaporkan menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri dan kehilangannya dikatakan disedari oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin beliau kira-kira 5.30 petang.

Sementara itu, media tempatan melaporkan Musa yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah telah melarikan diri ke luar negara selepas didakwa mengugut Yang di-Pertua Negeri (TYT) Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Mengulas mengenai operasi yang dilakukan oleh JIM, Muhyiddin menjelaskan seramai 170 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan bersepadu di sekitar ibu negara, hari ini.

Muhyiddin berkata, operasi yang bermula pukul 4 petang itu turut memeriksa seramai 330 warga asing.

"Kesemua yang ditahan melakukan pelbagai kesalahan imigresen antaranya tidak memiliki permit yang sah dan lain-lain kesalahan.

"Apa yang dilakukan ini adalah sebahagian untuk membanteras masalah PATI demi kesejahteraan, keselamatan dan kedaulatan negara ini," katanya.

Turut serta dalam operasi tersebut ialah Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.