Polis akan menggerakkan Pasukan Gerakkan Am (PGA), Unit Forensik dan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dalam usaha mengesan kubur dan bukti 12 kematian Orang Asli suku Batek seperti yang dilaporkan baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihak polis akan meminta bantuan ketua masyarakat Orang Asli Batek bagi membantu mengesan kubur atau bukti berkenaan.

Katanya, satu platun anggota PGA sudah bersiap sedia untuk digerakkan ke di Kampung Kuala Koh, di Gua Musang bagi tujuan berkenaan.

“Ada dua perkara untuk mengesahkan 12 kematian tersebut, pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) aturkan satu team PGA bersama penghulu Orang Asli (Batek) untuk tinjau serta mencari mana 12 mayat yang dikatakan dalam hutan itu.

“Kita perlu mengorek dan membuat post mortem. Dakwaan kata wabak tersebut dipercayai berpunca (dari) air tercemar, dan jika berlaku, kita akan siasat ikut (siasatan) jenayah,” katanya kepada pemberita, di sini.

Menurut Acryl Sani, sehingga kini pihak polis hanya dapat mengesahkan dua kematian masyarkat Orang Asli Batek berdasarkan laporan polis dan bedah siasat.

Dua kematian berkenaan dilaporkan pada 29 Mei dan 7 Jun lalu melibatkan seorang lelaki dan wanita.

Jelas beliau, berdasarkan dakwaan, ketua masyarakat Orang Asli itu yang mempunyai senarai nama yang meninggal dunia boleh dijadikan panduan untuk membantu mengesan mayat yang dikebumikan mengikut adat mereka.

BACA: Orang Asli suku kaum Batek dikebumikan secara adat

Pihak polis akan melakukan pencarian dan memperolehi bukti termasuk membawa pulang mayat untuk dibedah siasat bagi mendapatkan punca kematian sama ada kematian yang lain ada kaitan dengan dua kematian yang sudah disahkan itu.

Katanya pihak polis juga tidak menerima laporan rasmi mengenai 12 kematian yang lain seperti yang dilaporkan oleh ketua masyarakat Orang Asli berkenaan.

Dalam pada itu, pihaknya akan memulakan siasatan berkaitan jenayah sekiranya wujud kes pencemaran air hingga menyebabkan kematian penduduk Orang Asli Batek berkenaan.

Setakat ini tiada laporan rasmi berhubung pencemaran air sungai atau sumber air dibuat oleh masyarakat tersebut.