Polis akan memanggil pemimpin kumpulan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Yunos, dalam tempoh terdekat bagi memberi keterangan susulan perhimpunan di hadapan bangunan Malaysiakini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata kertas siasatan terhadap Jamal berhubung perhimpunan itu sudah dibuka.

Jelasnya, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana kumpulan termasuk Baju Merah jika gagal mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Apabila menyentuh berkaitan Baju Merah ini, sudah semestinya kalau dia mengadakan perhimpunan tanpa memaklumkan kepada pihak polis, dia telah melakukan kesalahan dan kita akan siasat.

"Kita telah membuka kertas siasatan dan kita akan mengikut proses-proses siasatan dan kita tengok apa keterangan yang boleh dikumpul dan seterusnya mengambil tindakan sewajarnya selepas itu", katanya ketika dihubungi oleh Astro AWANI hari ini.

Pada Ahad, Jamal yang jiuga Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar bersama 700 peserta baju merah berhimpun di luar ibu pejabat Malaysiakini bagi mempersoalkan sumber dana yang didakwa diperolehi daripada Open Society Foundation (OSF) yang dibiayai spekulator mata wang, George Soros.

Sementara itu, mengulas rancangan kumpulan Baju Merah mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka pada Sabtu ini, Noor Rashid menegaskan pihak polis akan memanggil Jamal pada Selasa bagi memberi keterangan.

"Kedua-dua pihak akan dipanggil dan saya difahamkan bahawa pihak baju kuning (Bersih) telahpun dipanggil oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi.

"Saya juga difahamkan bahawa esok kita akan memanggil Datuk Jamal ataupun pihak yang memakai baju merah," katanya di sini.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penganjur perhimpunan Bersih 5 dan kumpulan Baju Merah tidak dibenar mengadakan sebarang perhimpunan dan akan berdepan tindakan undang-undang jika berbuat demikian.