Polis akan memanggil penganjur perhimpunan di luar bangunan Parlimen kerana mengadakan perhimpunan tanpa permit hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Shaharuddin Abdullah berkata polis telah mengenalpasti individu terbabit dan akan membuka kertas siasatan dalam masa terdekat.

"Polis akan jalankan siasatan kerana penganjur telah melanggar Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012," katanya semasa ditemui media pada Rabu.

Jelas beliau, lebih 300 peserta hadir dalam perhimpunan yang bermula di Taman Tugu pagi ini sebelum meneruskan perarakan ke Jalan Parlimen.

Perhimpunan anjuran Bersih 2.0 itu diadakan bagi menyerahkan memorandum bantahan berkaitan cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Memorandum berkenaan diserahkan kepada wakil Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia di pintu pagar Parlimen pada 11:45 pagi oleh Pengerusi Bersih 2.0 Shahrul Aman Mohd Saari.

"Tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku dalam perhimpunan ini. Memang ada sedikit kekecohan, tetapi ia berjaya dikawal oleh anggota polis.

"Kami tempatkan hampir 400 anggota polis termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) untuk mengawal keadaan," jelas Shaharuddin.