Polis telah mengambil keterangan ibu kepada seorang murid perempuan yang kakinya dirantai di Taman Permainan Jalan PJS 9/1, Lagoon Perdana, Bandar Sunway petang semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Mohammad Azlin Sadari berkata wanita berusia 30-an itu ditahan polis di tempat kejadian dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Subang Jaya pada pukul 7 petang semalam.

"Wanita berkenaan dibebaskan pada pukul 10 malam selepas polis selesai mengambil keterangan berhubung kejadian yang berlaku kira-kira 6.30 petang itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Semalam, perkara itu mendapat kritikan daripada netizen setelah gambar seorang murid perempuan berpakaian seragam sekolah yang dirantai di sebuah tiang lampu berserta sebotol air dan beg sekolah diletakkan bersebelahannya, menjadi viral di media sosial.

BACA: Foto pelajar perempuan diikat rantai besi di tiang cetus kemarahan netizen

Difahamkan, murid itu dipercayai dirantai oleh ibunya kerana enggan hadir ke kelas Bahasa Mandarin dan murid itu dibebaskan kira-kira 7 petang oleh pihak polis setelah orang ramai membuat aduan. - Bernama