NATIONAL
Polis bekerja keras untuk bawa penjenayah ke muka pengadilan - Waytha Moorthy

Waytha Moorthy menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar mendoakan Muhammad Adib ditempatkan bersama-sama mereka yang beriman. - Gambar fail
Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerja keras bagi memastikan pesalah jenayah kejam yang mengakibatkan kematian anggota Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, dibawa ke muka pengadilan dengan pantas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy.
Waytha Moorthy berkata, Muhammad Adib merupakan seorang ahli Bomba yang berani dan berwibawa, berkhidmat untuk negara dengan penuh dedikasi.
"Sebagai Menteri yang bertanggungjawab bagi Perpaduan Nasional dan Kesejahteraan Sosial, saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar mendoakan Muhammad Adib ditempatkan bersama-sama mereka yang beriman.
"Fabrik sosial negara ini terbina daripada perpaduan dan keamanan yang dikecapi dalam 60 tahun yang lalu dan marilah kita bersama-sama berdoa untuk Muhammad Adib dan keluarga beliau pada masa yang mencabar ini," katanya menerusi satu kenyataan.
"Kami berkongsi kesedihan keluarga beliau dan negara berkabung bersama-sama dengan keluarga Muhammad Adib dalam masa getir ini," katanya lagi.
Muhammad Adib dipindahkan ke IJN selepas mengalami kecederaan parah akibat diserang susulan insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 pada 27 Nov lalu.
Pada Ahad, IJN melalui satu kenyataan memaklumkan kesihatan Muhammad Adib kembali merosot apabila paru-parunya gagal berfungsi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami