Polis membekukan cuti 5,000 pegawai dan anggotanya sebagai persediaan menghadapi banjir di negeri ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata selain itu, mana-mana pegawai dan anggota yang sedang bercuti ketika ini turut dipanggil untuk kembali bertugas.

Beliau berkata langkah itu diambil bagi membantu kelancaran operasi memindahkan mangsa banjir yang terjejas dengan bencana tersebut.

"Bagaimanapun, pegawai dan anggota yang berkursus, bermesyuarat dan cuti kecemasan masih dibenarkan untuk bercuti," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang di sini, hari ini.

Ab Rahman berkata pihaknya akan menggerakkan pegawai dan aset sedia ada bagi membantu penduduk yang terjejas dengan bencana tersebut.

Beliau turut meluangkan masa untuk melawat Balai Polis Rantau Panjang yang turut ditenggelami air sedalam kira-kira 0.3 meter.

Dalam perkembangan sama, Ab Rahman berkata pihaknya turut membahagikan polis kepada dua pasukan yang ditugaskan untuk membantu mangsa dan mengawal keselamatan ketika musim banjir.

Beliau berkata orang ramai tidak perlu bimbang untuk berpindah ke pusat pemindahan kerana tahap keselamatan kediaman mereka terkawal.

-- BERNAMA