announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Polis berkas penagih dadah ugut bunuh ayah sendiri

Polis berkas penagih dadah ugut bunuh ayah sendiri
Suspek kini direman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 kanun yang sama.
KEPALA BATAS: Seorang penagih dadah sanggup memecahkan televisyen dan mengugut mahu membunuh ayahnya hanya kerana lelaki itu enggan memberikan RM10 kepadanya untuk membeli tayar motosikal dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Lembah, Penaga dekat sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam kejadian pada 2.25 petang itu, suspek pulang ke rumah keluarganya dan meminta wang daripada ayahnya yang berusia 59 tahun dan mengamuk apabila permintaan tersebut tidak dipenuhi.

"Suspek berusia 27 tahun bertindak memecahkan televisyen dan mengugut mahu membunuh bapanya. Mangsa yang takut terus ke balai polis untuk membuat laporan kerana bimbangkan keselamatan dirinya. Suspek ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut," katanya di sini pada Rabu.

Beliau berkata siasatan mendapati ketika kejadian, abang suspek turut berada di ruang tamu tetapi tidak berani berbuat apa-apa kerana anak keempat daripada lima beradik itu mengugut untuk mencederakannya manakala ibu dan adik perempuannya berada di dalam bilik kerana takut.

Katanya ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan memiliki rekod kesalahan lampau berkaitan bahan terlarang itu.

Dia kini direman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 kanun yang sama.

-- BERNAMA