Letupan kecil yang menyebabkan kebakaran di sebuah premis kedai dua tingkat di Meru, Klang membongkar kegiatan sebuah makmal memproses dadah.

Dalam kejadian 11 Oktober lepas, polis yang menerima laporan dari orang ramai mengenai kebakaran itu bergegas ke lokasi kejadian.

Sebaik api dipadamkan pasukan bomba, pemeriksaan menjumpai pelbagai peralatan dan bahan yang digunakan bagi memproses dadah jenis methamphetamine atau syabu.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata pihaknya menangkap dua lelaki warga tempatan yang berada di lokasi kejadian.

"Berdasarkan hasil rampasan tersebut, analisa kandungan dadah methamphetamine sebanyak 20.35 kg boleh dibekalkan kepada 47,000 orang penagih syabu dalam satu masa dan sekiranya 8.5kg methamphetamine dihasilkan dalam tempoh seminggu, sindiket ini mampu menghasilkan 7.4kg methamphetamine dalam tempoh sebulan.

"Jadi 74kg ini bersamaan dengan harga RM5.18 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Seksyen 9 pada Selasa.

Jelasnya, nilai keseluruhan rampasan dadah dalam sebuan tersebut dianggarkan lebih RM1.65 juta.

Pada masa sama pihaknya, turut membuat sitaan ke atas sebuah kereta jenis Proton Saga Aeroback dan merampas wang tunai sebanyak RM580.

"Jadi, kedua-dua suspek ini telah ditahan di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama tujuh hari dan akan disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Suspek yang berusia 47 dan 52 tahun dipercayai terlibat dalam kegiatan memproses dadah berkenaan dan direman sehingga 18 Oktober ini.

Noor Azam berkata kejayaan itu adalah yang keempat membabitkan sindiket memproses dadah haram di Selangor pada tahun ini.