announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Polis buka kertas siasatan video tular pengawal keselamatan dipukul

Polis buka kertas siasatan video tular pengawal keselamatan dipukul
Sehingga kini tiada sebarang laporan polis diterima daripada mangsa berhubung insiden itu. - Sumber: Twitter
Polis telah membuka kertas siasatan berhubung video tular memaparkan insiden seorang pengawal keselamatan warga Nepal dipukul dengan sebatang kayu di tempat letak kereta dekat sini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintenden Rajab Ahad Ismail berkata siasatan mendapati kejadian itu berlaku di tempat letak kereta sebuah kondominium di Jalan Madrasah, Wangsa Maju pada 7 Julai lepas.

“Kejadian dipercayai melibatkan suspek warga Pakistan dan mangsa warga Nepal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di bangunan tersebut.

“Satu kertas siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan telah dibuka dan polis sedang menyiasat punca kejadian serta menyeru pihak yang terlibat supaya segera tampil untuk membantu siasatan,” menurutnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sehingga kini tiada sebarang laporan polis diterima daripada mangsa berhubung insiden itu.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Shahrul Azzuan Sharom (016-2014334) atau Pegawai Penyiasat Kanan DSP Stephen Ganeson (016-376 7390) atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran.

Pada Jumaat, satu video berdurasi 44 saat tular di media sosial memaparkan insiden seorang lelaki menampar dan memukul seorang pengawal keselamatan yang dipercayai warga asing dengan sebatang kayu.

-- BERNAMA