Polis buru mat rempit didakwa pukul inspektor di Dungun

Polis buru mat rempit didakwa pukul inspektor di Dungun
Sekumpulan mat rempit telah datang untuk menuntut balik motor yang ditahan polis, dan berlaku sedikit kekecohan sehingga seorang pegawai polis trafik dicederakan. - Astro AWANI
DUNGUN: Polis negeri ini sedang memburu beberapa orang 'mat rempit' yang dipercayai terbabit dalam kes pukul ketua bahagian siasatan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun, ketika satu operasi mencegah lumba haram di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Baharudin Abdullah berkata, susulan kejadian pada kira-kira jam enam petang itu, pegawai berpangkat inspektor terbabit telah mengalami kecederaan pada bahagian pipi dan kepala.

Menurutnya, ketika kejadian, pegawai terbabit telah menahan seorang lelaki berusia 23 tahun dan mencabut kunci motosikal jenis Yamaha RXZ milik pemuda itu bagi menghalangnya dari melarikan diri.

"Pegawai kita telah menahan satu motor dan ingin membawa balik motor tersebut ke balai.

"Dalam masa yang sama, sekumpulan mat rempit telah datang untuk menuntut balik motor tersebut dan tak puas hati.

"Di situ berlaku sedikit kekecohan, salah faham, di mana pegawai kita telah dicederakan," kata Baharuddin.

Beliau berkata, sejurus menerima maklumat, pihaknya menjalankan operasi bagi mengesan kumpulan mat rempit terbabit dan berjaya menahan tiga suspek pada hari yang sama untuk membantu siasatan.

Katanya, pihaknya kini sedang giat mengesan saki baki kumpulan mat rempit terbabit bagi membantu menyelesaikan kes tersebut.

Jelas Baharudin, pihaknya percaya kumpulan terbabit masih berada di sekitar bandar Kuala Terengganu.