Seorang ibu tergamak mendera tiga orang anak kandungnya, termasuk seorang anak yang merupakan orang kelainan upaya (OKU).

Wanita berusia 40-an itu kini sedang diburu polis kerana didakwa telah mendera anak kandungnya yang berusia 11 tahun, tujuh tahun dan dua tahun di rumah mereka di Rumah Transit Uda, Tanjong Tokong sejak April lalu .

Ibu kepada wanita itu telah membuat laporan polis mengenai perkara itu pada 16 April lalu.

Difahamkan, mangsa, dua perempuan dan seorang lelaki, yang merupakan anak kandung suspek, masih lagi trauma akibat didera ibu mereka.

Anak perempuan suspek yang berusia 11 tahun didapati mengalami lebam-lebam pada tangan dan paha manakala dua lagi anaknya tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata, selepas laporan polis dibuat, wanita berkenaan dipercayai telah melarikan diri ke Kedah.

Katanya, polis kini sedang menjalankan siasatan dan usaha mengesan suspek giat dilakukan.



Menurut Che Zaimani, suspek telah bercerai dengan suami pada 2018 dan ketiga-tiga anaknya tinggal bersamanya.

Siasatan awal polis mendapati, mangsa mengadu kepada nenek mereka bahawa mereka telah dipukul kerana seorang daripada anak suspek telah membuang air besar di dalam rumah, malah suspek juga telah mengugut untuk membunuh mereka dengan menggunakan pisau.

Suspek juga didakwa telah menendang anak lelakinya di bahagian kemaluan dan ibu suspek terus membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatan cucu-cucunya.



Tambah Che Zaimani, suspek juga telah beberapa kali memukul ketiga-tiga mangsa di hadapan ibunya walaupun telah beberapa kali ditegur supaya menghentikan perbuatan tersebut.

Kes disiasat di bawah Sekyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.