Ibu bapa ahli perniagaan Jho Low serta pereka fesyen Datin Seri Rosmah Mansor kini dalam buruan polis bagi membantu siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohammad Fuzi Harun, Tan Sri Larry Low Hock Peng dan Puan Sri Goh Gaik Ewe yang juga bapa dan ibu kepada Jho Low kali terakhir dikesan menetap di Tanjong Bungah, Pulau Pinang.

Sementara pereka fesyen kegemaran isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Tazak itu, Shabnam Naraindas Daswani @ Nastasha Mirpuri, 55, serta seorang lagi individu, Tan Kim Loong, 41, juga kini sedang dijejaki pihak berkuasa.

“Shabnam merupakan warganegara Singapura manakala selebihnya adalah rakyat Malaysia.

“Tempat tinggal terakhir Nastasha Mirpuri ialah di Parkstone Road, Singapura manakala Tan di , Taman Pusat Kepong, Kuala Lumpur, Low serta Goh pula di Tanjung Bungah Park, Pulau Pinang,” kata beliau dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho merupakan seorang tokoh perniagaan dan jutawan kontroversi yang dikaitkan dalam skandal 1MDB.

Mohammad Fuzi turut memberitahu, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau mengenali individu-individu terbabit diminta tampil atau menghubungi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan segera bagi membantu siasatan berkaitan kes 1MDB.

Orang ramai boleh menghubungi Supt. Foo Wei Min di talian 03–26101402 atau DSP Albany Hamzah dari Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) di talian 019-2412826.

Dalam satu perkembangan lain, Mohammad Fuzi berkata, PDRM dijangka melengkapkan kertas siasatan berhubung syarikat pelaburan 1MDB menjelang Mac ini.

Siasatan masih diteruskan melibatkan beberapa individu sama ada dari dalam mahupun luar negara selain sedang mempergiatkan siasatan untuk melengkapkan kertas siasatan dalam kadar segera sebelum diserahkan kepada pejabat Peguam Negara.