Tutup

Polis cari suspek kes tetak bekas isteri dengan golok di bank

Polis cari suspek kes tetak bekas isteri dengan golok di bank
DSP Wan Fauzi Wan Ishak menunjukkan fotofit suspek berusia 50-an yang diburu polis kerana terlibat dalam kes tetak bekas isterinya menggunakan sebilah golok di hadapan sebuah bank, di Kuala Krai pada 1 Ogos lalu. - Foto Bernama
KUALA KRAI: Polis sedang mengesan seorang lelaki warganegara Pakistan, Sultan Amir Najeem, 50an, yang dipercayai menetak bekas isterinya menggunakan sebilah golok di hadapan sebuah bank di sini, pada 1 Ogos lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, DSP Wan Fauzi Wan Ishak berkata serbuan ke atas rumah rumah suspek di Machang mendapati lelaki itu telah melarikan diri.

"Selepas menetak bekas isterinya dan suami baharu mangsa, suspek tidak pulang ke rumahnya namun kami percaya suspek masih berada di negeri ini dan usaha mencarinya masih giat dijalankan.
"Susulan itu kami memohon orang ramai menyalurkan maklumat untuk menjejaki suspek," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai di sini, hari ini.

Wan Fauzi berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah dengan senjata.
Akhbar sebelum ini melaporkan seorang wanita berusia 48 tahun parah ditetak oleh bekas suami mangsa berikutan suspek yang cemburu selepas wanita berkenaan berkahwin pada April lepas.

Suami mangsa berusia 45 tahun turut cedera di jari dan lengan berikutan berlaku pergelutan ketika menyelamatkan isterinya.

-- BERNAMA

Tag: suspek, Pakistan, tetak bekas isteri, Sultan Amir Najeem, warganegara Pakistan, gunakan sebilah golok, suspek diburu


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.