Seorang penagih dadah yang cuba menyamun sebuah kenderaan mewah cedera ditembak polis ketika cuba meloloskan diri.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7 malam pada Khamis, di taman perumahan Jalan Batu Kapur.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, suspek sebelum itu dikesan pasukan polis IPD Sentul kira kira jam 6.30 petang.

Polis mendapat maklumat mengenai suspek yang dalam keadaan mencurigakan bersama sebuah kereta jenis Mazda CX-5, di tempat letak kereta kawasan Kem Batu Kantonmen, Jalan Ipoh-Jinjang di sini.

Ketika polis menunjukkan kad kuasa, suspek bertindak mengundur kereta dalam keadaan laju dan merbahaya sehingga memaksa anggota polis menembak tayar kereta.

Suspek kemudiannya memandu laju menghala ke jalan mati sebelum mengundur kenderaannya dengan cubaan untuk merempuh dua anggota polis.

Bagaimanapun, kedua-dua anggota polis berkenaan berjaya mengelak dan terjatuh dari motosikal.

Suspek juga merempuh sebuah kereta orang awam jenis Perodua Myvi.

Polis telah melepaskan satu das tembakan ke arah cermin penumpang hadapan sebelah kanan kereta, mengakibatkan tangan kanan suspek cedera.

Hasil semakan awal mendapati suspek yang berusia 30-an mempunyai 11 rekod lampau dan dua rekod dikehendaki polis.

Kereta yang terbabit dalam insiden itu juga dilaporkan curi pada tahun ini di kawasan Putra Heights.

Suspek didapati positif dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 (cuba bunuh) dan Seksyen 186 (menghalang penjawat awam) Kanun Keseksaan.