MALAYSIA
Polis hentikan siasatan terhadap laporan konspirasi Khairul Azwan - KPN

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, ia dihentikan kerana siasatan awal polis mendapati laporan yang dibuat oleh Khairul Azwan itu hanya andaian sahaja. - Gambar fail
Polis telah menghentikan siasatan terhadap laporan yang dibuat Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun 26 Julai lalu berhubung tiga individu, yang dikatakan terbabit dalam satu konspirasi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Malaysia.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ia dihentikan kerana siasatan awal polis mendapati laporan yang dibuat oleh Khairul Azwan itu hanya berdasarkan andaian sahaja.
Polis juga telah memanggil Khairul Azwan Jumaat lalu untuk mendapat penjelasan serta bukti yang mendakwa individu terbabit terlibat dengan konspirasi yang dikatakan.
“Kita sudah merakam percakapan dia (Khairul Azwan) dan kita mendapati saudara Khairul ini membuat laporan itu berdasarkan andaian-andaiannya. Tidak dapat mengemukakan apa-apa bukti untuk menyokong apa jua yang dia nyatakan dalam laporan. Untuk itu PDRM tidak akan meneruskan siasatan. Kita telah menghentikan siasatan,” kata beliau selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya peringkat Kontinjen Polis Selangor di sini hari ini.
Khairul Azwan dilaporkan berkata beliau percaya individu terbabit sama ada secara perseorangan atau kumpulan terbabit, memberi maklumat dan dokumen sulit kepada agensi di Amerika Syarikat, termasuk Biro Siasatan Persekutuan negara itu (FBI).
Beliau juga mendakwa mereka dipercayai memberikan maklumat sulit berkenaan kepada pihak asing tanpa kelulusan sah oleh pihak berkuasa Malaysia, termasuk Jabatan Peguam Negara.
Menurutnya laporan polis itu dibuat bagi mempertahankan perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Kerajaan Malaysia.
Sementara itu Ketua Pemuda UMNO, Khairi Jamaluddin pula menegaskan laporan polis berkenaan dibuat atas kapasiti Khairul Azwan sebagai individu dan tidak mewakili pergerakan itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami