Polis Kedah perangi habis-habisan kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di negeri ini terutama di kawasan tumpuan termasuk di Pulau Langkawi.

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob, pihaknya memandang serius aktiviti melibatkan penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat khususnya selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang mana aktiviti tersebut semakin menjadi-jadi.

Lantaran itu, tegasnya, operasi besar-besaran yang dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (IPD) Langkawi dan dibantu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Langkawi berjaya menahan 80 penagih serta pengedar di pulau itu.

Operasi yang diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Langkawi, Asisten Superintendan Meor Hishamudin Alhafiz Mior Salleh turut menyerbu beberapa kawasan di Kuah, Teriang, Ayer Hangat dan Bukit Malut.

Katanya, dalam operasi itu, pihaknya turut mengesan kehadiran tonto yang terdiri dalam kalangan kanak-kanak di kawasan Bukit Malut yang menjadi mata dan telinga penagih.

“Kita bimbang dengan budaya budak-budak yang digunakan (oleh pengedar dan penagih) dan hanya sekadar mungkin dapat balasan RM10 hingga RM10 daripada kumpulan-kumpulan itu dan kita akan cuba atasi (masalah itu) sebaik mungkin,” kata beliau.




Dalam serbuan itu, terdapat penagih yang cuba bersembunyi di dalam hutan dan ada yang menyembunyikan paket dadah di setiap tempat dalam bilik tidur untuk mengelak dari ditahan namun gagal.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati bekalan dadah diperoleh daripada nelayan yang menghantar ke kawasan pulau berkenaan secara kecil-kecilan.

Katanya, dalam tempoh setahun, pihaknya berjaya melakukan tangkapan terhadap 1,230 penagih di Langkawi dalam serbuan-serbuan yang dilakukan.

Berdasarkan rekod tangkapan, Langkawi merupakan daerah kedua tangkapan tertinggi di negeri ini selepas Kota Setar dan ketiga Bandar Baharu.

Beliau berkata, dalam tempoh lima tahun sejak 2015, seramai 26,352 penagih dadah ditahan hasil daripada 136,260 pemeriksaan dan serbuan yang dilakukan.

Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.