Polis Kedah rampas 15kg dadah, lima ditahan

Polis Kedah rampas 15kg dadah, lima ditahan
Ketika serbuan, lima suspek baru sahaja selesai memproses dan membungkus dadah untuk diedar di pasaran tempatan. -Gambar hiasan
ALOR SETAR: Polis menahan lima orang dan merampas 15kg dadah jenis syabu dan kafein bernilai RM130,500 dalam satu serbuan ke atas makmal memproses dadah di Sungai Kob, Kulim, Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah Supt Helmi Aris berkata dalam serbuan pukul 3.40 petang itu, polis menahan tiga lelaki tempatan, seorang lelaki dan seorang wanita warga Myanmar berumur antara 22 dan 55 tahun.

Hasil pemeriksaan di rumah itu, polis menemui 5.7kg dadah jenis syabu dan 9.3kg dadah dipercayai kafein serta peralatan memproses dadah.

Katanya ketika serbuan dilakukan lima suspek terlibat baru sahaja selesai memproses dan membungkus dadah itu untuk diedar di pasaran tempatan.

"Siasatan mendapati rumah itu dijadikan makmal dadah sejak enam bulan lepas dan salah seorang suspek yang dipercayai ketua kumpulan sindiket berkenaan memiliki rekod jenayah berkaitan dadah," katanya pada sidang media hari ini.

Helmi berkata pihaknya turut menyita tiga kenderaan pelbagai jenama digunakan sindiket terbabit untuk mengedarkan dadah berkenaan.

Katanya kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 3 Dis ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.