Makin menjadi-jadi memandu dalam keadaan mabuk.

Seorang lelaki ditahan polis kerana memandu dalam keadaan mabuk ketika melalui sekatan pemeriksaan di Lebuhraya Darulaman, di sini, malam tadi.

Lelaki berusia 50-an itu ditahan dalam sekatan jalan pada jam 10 malam selepas didapati positif ketika menjalani ujian Screening Device (SD) II kerana melebihi paras alkohol yang dibenarkan.

Lelaki itu kemudian dibawa ke Balai Polis Trafik Kota Setar untuk menjalani ujian kedua menerusi alat Evidential Breath Analyzer II (EBA II).

Hasil pemeriksaan kedua turut mendapati dia mabuk dan kemudian ditahan untuk tindakan lanjut.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh, lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.



Beliau berkata, operasi yang dilakukan selama dua hari berturut-turut itu tertumpu di beberapa kawasan di daerah Kota Setar.

Jelasnya, dalam pemeriksaan itu, sebanyak 600 kenderaan dan 868 individu diperiksa dalam sekatan pemeriksaan yang dilakukan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 190 saman dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan yang dilakukan mengikut Pol 257.

Mohd Redzuan berkata, saman yang dikenakan membabitkan 343 penunggang motosikal, 230 pemandu kenderaan dan 27 lain-lain.



Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan pemeriksaan, seramai lapan individu ditahan berkaitan dadah dan dua daripadanya kerana terlibat dengan jenayah.

Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak mengambil jalan mudah dengan memandu di bawah pengaruh alkohol kerana ia boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain dan boleh mengakibatkan kehilangan nyawa.

Berikutan itu, pihaknya akan mempergiatkan operasi dan mengambil tindakan yang lebih serius untuk mengesan pemandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol di kawasan-kawasan 'hotspot' yang sudah dikenal pasti.