Polis Kontinjen Kuala Lumpur laksanakan operasi sekatan jalan raya dan pemeriksaan ke atas individu yang didapati tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, polis akan menasihati mereka untuk berada di rumah kecuali bagi individu yang berkhidmat dalam perkhidmatan penting seperti disenaraikan Majlis Keselamatan Negara (MKN)

“Polis akan terus memantau aspek keselamatan dan komited dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan sepanjang tempoh 18 hingga 31 Mac bagi membendung COVID-19 daripada terus merebak.

“Polis juga berharap kerjasama orang ramai agar mematuhi perintah tersebut demi kesihatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Dalam pada itu, pihak polis telah mengesan satu artikel yang diterbitkan oleh sebuah akhbar berbahasa Cina mengenai kejadian anggota Polis Kuala Lumpur yang dikatakan positif COVID-19.

“Polis ingin menegaskan sebarang kes berkaitan COVID-19 perlu dirujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya tidak berlaku percanggahan maklumat.

“Pihak media juga diminta untuk bertanggungjawab dalam pelaporan berita dengan mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih dan tidak menggunakan nama mana-mana Pegawai Kanan Polis tanpa pengetahuan mereka.

“Kerjasama daripada pihak Media akan membantu pihak Polis dalam memastikan masyarakat tenang dan tidak gusar dengan keadaan semasa berkaitan COVID-19 ini,” jelas Mazlan