Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Polis Marin pamer aset baharu, Humdinga, pada LIMA'19

Polis Marin pamer aset baharu, Humdinga, pada LIMA'19
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kanan) dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (tengah) berkenan mencuba kenderaan "humdinga" milik Polis DiRaja Malaysia pada
LANGKAWI: Pasukan Polis Marin akan diperkuatkan dengan enam unit aset terbaru dikenali sebagai 'Humdinga' yang boleh digunakan dalam operasi di laut dan darat, kata Komandernya, SAC Mohd Yusoff Mamat.

Beliau berkata sebuah Humdinga berharga RM4.9 juta dan dibuat di United Kingdom telahpun diserahkan kepada pasukan itu manakala lima lagi akan diserahkan pada April ini.
"Aset baharu ini akan ditempatkan di Johor bagi kegunaan dalam Wilayah 2 dan bagi Wilayah 3 ditempatkan di Kuantan," kata Mohd Yusoff kepada Bernama di sini pada Rabu.

Beliau ditemui selepas taklimat oleh Pengurus Pembangunan Perniagaan STREIT Group, syarikat pembuat Humdinga, Sarah Evans kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bersama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berada di Langkawi bagi menyaksikan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2019 dan turut menyaksikan demonstrasi Humdinga sebelum menaikinya.

Sebelum itu, baginda berdua tiba di Jeti Resorts World Langkawi dengan menaiki bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan disambut oleh Inspektor Jeneral TLDM Laksamana Pertama Baharudin Wawn Md Nor.

Menurut Mohd Yusoff, sebuah Humdinga yang diserahkan kepada Polis Marin dipamerkan pada LIMA sebagai aset baharu Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya Humdinga boleh mencapai kelajuan 30 knot di laut dan 110 kilometer sejam di darat.

Sementara itu Tuanku Syed Faizuddin bertitah penganjuran LIMA seharusnya dapat mempertingkatkan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terutama dalam aspek peperangan alaf baharu yang menggunakan peralatan canggih dan terkini.

"Aset dan peralatan moden dengan menggunakan UAV dan dron sebagai contoh adalah faktor penting yang memastikan operasi ketenteraan seperti perisikan dan pengawasan mencapai kejayaan," titah baginda.

Baginda bertitah, Revolusi Industri 4.0 telah membuka beberapa domain baharu termasuk domain siber dan domain angkasa yang tidak diketahui ramai.

"Atas sebab ini ATM perlu memperkukuhkan keupayaan ketiga-tiga cabang darat, udara dan laut supaya dapat menghadapi ancaman-ancaman global tanpa sempadan," titah Tuanku Syed Faizuddin.

-- BERNAMA


Tag: polis marin, humdiga, jentera, lima 2019, mohd yusoff mamat, aset, keselamatan, kawalan, united kingdom



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.