Polis Marin Wilayah 1 berjaya mematahkan cubaan menyeludup pelbagai barangan berasaskan pertanian dan rempah ratus bernilai RM270,000 selepas menahan sebuah bot dagang dari Indonesia di Jeti Perai dekat sini pada Rabu.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, ACP Rosman Ismail berkata bot dagang yang dinaiki empat kru warga Indonesia berusia antara 31 dan 55 tahun itu ditahan dalam operasi Ops Landai kira-kira pukul 5.00 petang selepas didapati belayar dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan di atas bot itu mendapati ia membawa barang yang cuba diseludup keluar seperti rempah beriani, rempah kari dan rempah ratus seperti kas-kas, kunyit, pelbagai jenis sos dan baja tumbuhan seberat kira-kira 13.85 tan bernilai RM270,000," katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.

Beliau berkata pihaknya percaya pelbagai barangan ini cuba dibawa keluar ke Indonesia tanpa melalui pemeriksaan dan dokumen yang sah memandangkan barangan ini mendapat permintaan tinggi di negara berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut ke atas bot bernilai kira-kira RM150,000 itu mendapati semua barangan cuba dibawa keluar tanpa permit yang sah daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis)," katanya.

Sementara itu, Pengarah Maqis negeri, Zarina Ramli berkata bot tersebut melanggar kesalahan di bawah Seksyen 11 (2) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Katanya mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 11 (3) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

"Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasakan lagi bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara," katanya.

-- BERNAMA