Polis Marin rampas rokok seludup bernilai RM278,800

Polis Marin rampas rokok seludup bernilai RM278,800
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyeludupan rokok diminta melaporkan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan. - Gambar hiasan
TUMPAT: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3 Pengkalan Kubor merampas 41 kotak rokok seludup bernilai RM278,800 dan sebuah van dalam serbuan di Pengkalan Haram Badang, Sungai Golok di sini, pada Isnin.

Kesemua rokok yang dirampas dalam serbuan pukul 10 pagi itu dipercayai diperoleh dari Selangor dan untuk diseludup ke negara jiran menggunakan bot menyeberangi Sungai Golok yang menjadi sempadan Malaysia dan Thailand di Kelantan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 3, ASP Mohd Rudzuan Ahmad berkata serbuan dilakukan selepas pasukannya mengadakan risikan awal di lokasi disyaki.

"Ketika serbuan terdapat empat lelaki sedang memunggah kotak daripada sebuah van ke dalam bot enjin galah namun suspek terbabit melarikan diri dengan menaiki dua bot enjin galah ke negara jiran," katanya pada sidang media di Pejabat PPM Wilayah 3 Pengkalan Kubor di sini, pada Isnin.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut pada van jenis Toyota Hiace itu menemui 41 kotak mengandungi 2,050 karton rokok seludup berkenaan.

Katanya kes itu diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyeludupan supaya melaporkan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan.

-- BERNAMA