Pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Sarawak berjaya menyelamatkan seekor beruang madu yang dipercayai dipelihara oleh seorang penghuni rumah panjang tanpa permit di RH Kasa, Ijok Spak dekat sini.

Beruang yang turut dikenali sebagai beruang matahari itu dikurung dalam keadaan berantai di dalam kandang konkrit yang diletakkan di bawah rumah panjang.

Taktik itu bagaimanapun berjaya dihidu apabila haiwan berkenaan akhirnya dirampas semasa Ops Khazanah yang dijalankan bersama Sarawak Forestry Corporation (SFC) sekitar jam 5.30 pada Rabu.

Komander PPMW5, ACP Shamsol Kassim dalam satu kenyataan media berkata, haiwan itu dirampas di bawah Seksyen 48(1) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

Ia berikutan pemilik tidak memiliki lesen atau permit untuk menyimpan haiwan berkenaan.

Ia kemudiannya diserahkan kepada pihak SFC untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Tambah Shamsol, tiada tangkapan dilakukan kerana tiada seorang pemilik rumah panjang itu yang mengaku memiliki haiwan tersebut semasa operasi dijalankan.

Beruang madu atau nama saintifiknya 'Ursus Malayanus' tidak sesuai dijadikan sebagai haiwan peliharaan dan ia salah di sisi undang-undang.

Ia berikutan haiwan berkenaan merupakan sebahagian daripada haiwan yang dilindungi dan kini berdepan ancaman kepupusan yang teruk akibat pemburuan haram dan kemusnahan habitat spesies itu.

Jika didapati bersalah, pelaku boleh dipenjara setahun dan denda RM10,000.

Mengikut rekod, ia merupakan beruang madu ketiga berjaya diselamatkan oleh SFC selepas dua ekor sebelum ini diselamatkan masing-masing di kawasan perumahan Demak Laut pada 25 September.

Seekor lagi di sebuah rumah kebun berdekatan Kampung Rasau, Serian pada 27 September.

Kedua-dua beruang madu tersebut telah dihantar ke Pusat Hidupan Liar Matang bagi tujuan pemulihan.