Polis merampas lebih 10 laras senapang patah dan senapang angin buatan sendiri khususnya di kawasan pedalaman di sini dalam tempoh empat bulan lepas.

Ketua Polis Miri ACP Gan Tian Kee berkata fenomena senjata api buatan sendiri kini amat membimbangkan kerana ia boleh disalahgunakan untuk melakukan jenayah, walaupun pada asalnya ia digunakan untuk memburu binatang.

Kes terbaharu katanya, melibatkan penahanan dua lelaki tempatan berumur 22 hingga 40 tahun pada 3.05 petang semalam kerana memiliki dua laras senapang patah dan empat laras senapang angin buatan sendiri bersama dua butir peluru.

"Tangkapan dilakukan di sebuah rumah kayu tidak bernombor di Kampung Sebalik, Bekenu di sini, diketuai Inspektor Nasrul Hadi Jahat dan senjata berkenaan dibawa ke Balai Pusat Miri," katanya dalam sidang media di sini Rabu.

Menurut Gan kegiatan memiliki senjata api buatan sendiri ini sering dikesan di Sarawak dan Sabah dan pemiliknya lazimnya tidak menyedari ia adalah satu kesalahan.

Beliau berkata pemilikan senjata api buatan sendiri adalah satu jenayah dan boleh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Pemilik senjata api buatan sendiri juga berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda RM10,000 dibawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api kerana tidak memiliki lesen atau permit," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan semua pemilik senjata api buatan sendiri untuk menyerahkan kepada polis secepat mungkin bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

Dalam perkembangan lain, Gan berkata polis merampas pelbagai barangan elektronik yang dipercayai dicuri bernilai RM237,382 dalam satu serbuan pada 4.35 petang, Isnin lepas.

Katanya, barangan elektrik itu dipercayai dicuri dari sebuah rumah sewa milik syarikat yang beroperasi di Senadin di sini.

Turut ditahan, lima, termasuk dua wanita berusia antara 23 dan 54 tahun bagi membantu siasatan, katanya.