Polis hari ini menafikan laporan media antarabangsa kononnya pihaknya telah membawa ibu bapa Nora Anne Quoirin, berjumpa dengan kumpulan agama selepas menemui jalan buntu ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja Ireland itu dijalankan.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop mengesahkan bahawa beliau tidak pernah mengarahkan mana-mana pegawai untuk berbuat demikian.

"Tiada keperluan pun (untuk berbuat sedemikian)," katanya ringkas menerusi aplikasi Whatapps kepada Bernama di sini, hari ini.

Media antarabangsa Daily Mail United Kingdom dalam laporannya hari ini melaporkan bahawa polis telah membawa ibu bapa Nora Anne, 15, untuk berjumpa dengan kumpulan agama selepas menemui jalan buntu dan tertekan selepas beberapa hari SAR dijalankan.


Laporan itu mendakwa ia dilakukan pada Isnin minggu lepas iaitu sehari sebelum mayat Nora Anne ditemui.

Nora Anne, bersama-sama ibu bapanya Sebastien Marie Philipe dan Meabh Jaseprine Quoirin tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di resort penginapannya di sebuah resort di Pantai, Seremban, pada 3 Ogos, sehari sebelum kehilangannya.


Mayat Nora Anne, gadis istimewa itu ditemui di kawasan lurah berhampiran anak sungai, 2.5 kilometer dari resort penginapan tempat remaja anak istimewa itu dilaporkan hilang, pada hari ke-10 operasi mencari dan menyelamat (SAR) besar-besaran dijalankan sejak 4 Ogos lepas.

Laporan bedah siasat pada Khamis lepas mendapati kematian Nora Anne, yang mengalami masalah pembelajaran, tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja perempuan itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.


Keluarga Nora Anne menuntut mayat remaja itu dari Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ja'afar Seremban pada Jumaat selepas proses dokumentasi selesai.

Sementara itu, Mohamad turut menjelaskan bahawa keluarga Nora Anne telah pun keluar daripada resort penginapan mereka di Pantai, dekat sini pada Sabtu lepas dan telah meninggalkan negara ini untuk pulang ke negara mereka.

-- BERNAMA