Polis hari ini menafikan dakwaan kononnya membawa parang ketika melakukan satu serbuan di sebuah kondominium di Selayang pada 7 Jan lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad berkata tuduhan yang dibuat itu tidak munasabah dan tidak berasas sama sekali sehingga boleh menjatuhkan imej dan kredibiliti polis.

"Polis ingin menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan polis ada membawa parang selain pengadu (individu yang membuat dakwaan) ini tiada di rumah tersebut semasa serbuan dijalankan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata serbuan di dalam sebuah unit kondominium itu dibuat selepas pihaknya menerima maklumat berkaitan kegiatan dadah dan sewaktu serbuan, dua individu telah bertindak agresif dengan menendang anggota polis serta mengeluarkan kata-kata kesat semasa pemeriksaan dijalankan.

Katanya, kedua-dua mereka telah dituduh di Mahkamah Majistret Selayang pada 23 Jan lepas mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

"Kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah dan dikenakan ikat jamin, sebutan semula kes adalah pada 26 Feb ini. Segala tindakan yang dilakukan (polis) mengikut lunas undang-undang serta berpandukan bukti dan keterangan yang diperolehi hasil daripada siasatan yang dijalankan," kata Ali.

Baru-baru ini, sebuah portal berita tempatan melaporkan lapan anggota polis yang tidak memakai uniform didakwa membawa parang ketika membuat serbuan di sebuah kondominium di Selayang pada 3 petang, 7 Jan lepas.

Seorang daripada anggota itu dikatakan memecahkan pintu masuk selepas tidak mendapat kerjasama daripada individu yang berada di dalam rumah itu.

-- BERNAMA