Polis telah merakam percakapan individu yang mendakwa dipukul oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Datuk Azmi Che Hussain di hadapan kompleks beli belah Aman Central di sini pada 15 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin, turut menegaskan tidak akan akan berat sebelah terhadap siasatan kes berkenaan.

Katanya, polis masih mengumpul maklumat bagi melengkapkan siasatan dari pelbagai sudut bagi memastikan keadilan sewajarnya termasuk memanggil pengadu dan teman wanitanya.

"Bagi pihak Datuk Azmi sendiri jika sekiranya beliau merasakan perkara ini fitnah atau sebagainya terpulang kepada beliau untuk mengambil tindakan seterusnya," katanya kepada Astro AWANI, pada Ahad.

"Tetapi kita tetap menjalankan siasatan untuk keadilan kepada pengadu itu sendiri dan setakat ni saksi-saksi telah dipanggil hari ini (Ahad) termasuk teman wanita kepada pengadu itu," tambahnya.


Jelas Mohd Rozi, siasatan awal pihaknya mendapati wujud salah faham di antara dua anak Azmi dan pengadu hingga menyebabkan insiden berkenaan berlaku.

Kes masih disiasat mengikut Seksyen 323 kerana menyebabkan kecederaan.

ADUN Kedah, pukul

Dalam kejadian itu, seorang individu mendakwa dia dan teman wanitanya dipukul beberapa individu yang bertindak menariknya keluar dari kereta di hadapan kompleks membeli-belah itu.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian berkenaan turut viral di media sosial.

Bagaimanapun, semalam Sinar Harian melaporkan Azmi berkata, beliau yang sebenarnya ditumbuk oleh pengadu berkenaan yang dakwanya terlebih dahulu menunjukkan isyarat tidak elok kepada anaknya yang sedang memandu.

“Saya cuba leraikan keadaan, tetapi saya pula yang dituduh,” demikian luahan beliau yang juga Timbalan Speaker DUN Kedah, kepada akhbar itu.

“Saya ketika itu dalam kereta dengan dua lagi anak lelaki. Bila kejadian macam tu berlaku, saya turun kereta dan tanya kenapa dia buat begitu kepada anak saya.

“Namun bila disoal, dia bertindak memaki hamun saya. Salam yang diberi sebelum itu pun tidak dijawabnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mendakwa, lelaki itu kemudian bertindak lebih agresif apabila keluar dari kereta dan menendangnya sehingga terjatuh.