Polis menafikan wujudnya insiden pergaduhan sehingga membawa maut ketika sambutan perayaan Thaipusam di Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Samsudin Mamat, semakan telah dibuat dan didapati tiada kes pergaduhan melibatkan kematian yang berlaku namun satu laporan polis dibuat oleh pegawai kanan polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.

"Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.

"Untuk makluman, perayaan sambutan Thaipusam di Sungai Petani berlangsung dengan lancar tanpa sebarang insiden," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Terdahulu, tular di media sosial Twitter akaun bernama 'TehPanas' rakaman pergaduhan beberapa individu dengan kapsyen 'Budak kena pukul mati on spot' ketika upacara sembahyang Thaipusam di Sungai Petani, Kedah.

Video berkenaan mendapat 164,000 tontontan dan 4,500 ciapan daripada netizen.

Bagaimanapun, Samsudin berkata terdapat satu laporan insiden pergaduhan dan hanya dua mangsa yang mengalami cedera ringan.

"Tindakan pantas pihak polis telag berjaya menahan tiga lelaki warga tempatan berusia lingkungan 23 hingga 27 tahun," jelasnya

Kes berkenaan disiasat dibawah seksyen 324/148 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek direman selama empat hari sehingga Khamis ini untuk siasatan.