Polis menafikan sebuah video yang tular sejak semalam, merupakan rakaman aksi daripada tujuh pelajar lelaki yang disyaki merogol seorang pelajar perempuan tingkatan dua di Tawau.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas berkata perkara itu kini dalam siasatan polis dan pihak bahagian forensik sedang menjalankan siasatan terperinci mengenainya.

Jelasnya, kesemua telefon bimbit milik tujuh suspek berkenaan serta telefon bimbit mangsa juga telah dirampas bagi tujuan siasatan.

Justeru, beliau meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis.

BACA: Tujuh senior tingkatan lima disyaki rogol bergilir-gilir pelajar tingkatan dua

"Kepada masyarakat, saya harap jangan membuat spekulasi terhadap mana-mana kes jenayah, khasnya yang melibatkan remaja ataupun budak sekolah.

"Kita mengambil kira masa hadapan mereka. Jangan buat spekulasi sehingga pihak berkuasa ataupun Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai membuat penyiasatan," katanya ketika ditemui dalam Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, hari ini.

Dalam pada itu, Peter turut menafikan dakwaan pihak tertentu yang mengatakan mangsa pernah merakam gambar dan video bogel sendiri.

"Itu kita tidak dapat maklumat, itu (merupakan) maklumat daripada orang luar. Dari dia (mangsa), tidak mendedahkan perkara ini," katanya lagi.

Jumaat lalu, tujuh pelajar lelaki yang kesemuanya berusia 17 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam perbuatan merogol bergilir-gilir seorang pelajar perempuan tingkatan dua.

Kejadian tersebut berlaku di salah sebuah sekolah menengah di daerah itu, di mana mangsa adalah dari sekolah yang sama.

Menurut Peter, perbuatan itu diketahui apabila salah seorang guru menjumpai mereka di lokasi kejadian.