Polis meminta orang ramai supaya tidak menularkan klip video memaparkan seorang lelaki menendang sebuah kereta dan membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Supt Ramsay Embol dalam kenyataannya di sini pada Jumaat berkata ia kerana kertas siasatan berhubung kejadian yang berlaku pada Rabu lepas sedang dalam siasatan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya.

"Siasatan awal mendapati kejadian telah berlaku pada 4 Mac lepas kira-kira pukul 8 malam di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) menghala susur keluar Kota Kemuning.

"Laporan polis telah diterima daripada kedua-dua pihak pada hari yang sama dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Kedua-dua pihak telah dipanggil untuk diambil keterangan," katanya.

Terdahulu tular satu video di laman-laman sosial menunjukkan seorang lelaki bertindak menendang sebuah kereta jenis Suzuki Swift yang berhenti di tengah lebuh raya berkenaan.

-- BERNAMA