Ketua Polis Perlis SAC Shafie Ismail mengesahkan penemuan 24 rangka manusia lengkap dikafan dari 18 kubur, dipercayai mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma, di Wang Kelian semalam.

Semua 24 rangka tersebut dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar pada 7.50 petang semalam untuk dirujuk kepada pakar patologi, katanya.

Beliau yang dihubungi hari ini berkata pihak berkuasa menemui 20 kubur, tetapi 18 kubur sahaja mengandungi rangka manusia.

"Hujan lebat dipercayai menghakis kubur tersebut yang membawa kepada penemuan rangka mayat itu," tambahnya.

Beliau berkata difahamkan 20 kubur tersebut lebih lama daripada kubur yang ditemui Mei lepas dan kedudukannya pula hampir ke puncak bukit namun tidak jauh dari tempat penemuan lama.

Shafie berkata penemuan itu dibuat oleh sepasukan 15 pegawai dan 108 anggota Polis Diraja Malaysia yang terdiri daripada Pasukan Gerakan Am; Bahagian Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah; Unit Pencegah Penyeludupan; Cawangan Khas dan pegawai penyiasat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar malam tadi mengesahkan penemuan beberapa buah kubur lagi di kawasan sempadan Perlis dan Thailand.

Beliau berkata kubur-kubur itu "adalah sebahagian daripada penemuan yang asal."

Pada Mei lepas, pasukan keselamatan menemukan 139 kubur mengandungi 106 rangka mangsa pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma.

Pihak berkuasa agama Islam Kedah dengan bantuan Majlis Keselamatan Negara telah mengebumikan 99 daripada mayat mangsa yang ditemui itu di Tanah Perkuburan Islam Khairiah Kampung Tualang, Pokok Sena baru-baru ini.