Polis merampas beberapa sepanduk yang dianggap mempunyai unsur sensitif dan boleh mengaibkan individu, daripada peserta perhimpunan Bersih 4 di Padang Song Kheng Hai, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad berkata sebelum peserta memasuki padang, polis terlebih dahulu membuat pemeriksaan dan merampas sepanduk-sepanduk berkenaan daripada mereka.

"Kita dapati ada peserta cuba bawa sepanduk-sepanduk berunsur sensitif tetapi telah dinasihatkan (tidak berbuat demikian) dan kami ambil sepanduk itu daripada mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui di padang berkenaan.

BACA: [LAPORAN LANGSUNG] Bersih 4: Peserta mula berkumpul di Dataran Merdeka pagi ini


Selain itu, katanya polis turut menasihatkan peserta yang membawa kanak-kanak supaya menghantar mereka pulang sebelum boleh memasuki kawasan perhimpunan.

Membawa kanak-kanak ke perhimpunan adalah perbuatan yang melanggar Seksyen 20(1) (c) Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012.