Polis merampas tujuh senjata api milik seorang 'Datuk' yang juga disyaki dalang utama pembunuhan setiausaha PKR Miri Bill Kayong Jun lepas.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata rampasan sepucuk pistol jenis ‘Glock’, sepucuk ‘rifel’ dan lima senapang patah dilakukan mulai 10.40 pagi hingga 12 tengah hari semalam.

Jelasnya, senjata api yang dirampas itu tiada kaitan dengan kes pembunuhan Bill Kayong pada 21 Jun lalu namun rampasan senjata api dibuat di kediaman 'Datuk' berkenaan.

Polis turut merampas 416 butir peluru, 206 peluru senapang patah dan sebutir peluru GFL 9MM Luger.

Dev kumar berkata dua pistol yang dirampas itu dimiliki oleh 'Datuk' berkenaan untuk keselamatan diri dan lesen dikeluarkan oleh polis.

Manakala lima senapang patah untuk digunakan oleh polis bantuan dengan lesen dikeluarkan oleh pejabat daerah Miri.

Pihak polis merampas senjata api itu atas faktor keselamatan memandangkan suspek telah menghilangkan diri sejak 3 Julai 2016 dan tiada kawalan ke atas pemiliknya.

Polis juga masih menunggu maklumat Interpol berkaitan lokasi terkini suspek yang dipercayai masih berada di Australia.