Polis Sabah menggesa bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yang 'hilang' tampil bagi membantu siasatan susulan laporan polis yang dibuat Yang di-Pertua Negeri (TYT) Sabah Tun Juhar Mahiruddin pada 19 Mei lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata dengan kehadiran bekas Ketua Menteri itu akan dapat membantu untuk melengkapkan dan menyegerakan siasatan pihak polis.

"Sebagai pemimpin beliau (Musa) perlu tampil membantu melengkapkan siasatan, polis akan meneruskan siasatan dengan merujuk kepada timbalan pendakwa raya dan apa juga keputusannya, kita akan menanti," katanya.

Beliau ditemui selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Razaruddin Hussain @ Abd Rasid kepada Datuk Omar Mammah dan Ketua Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT) ACP Ramli kepada DSP Wong Leong Meng di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Kepayan di sini hari ini.

Pada 19 Mei lepas, Juhar membuat laporan polis terhadap Musa dipercayai ada kaitan tentang intimidasi jenayah terhadap beliau selepas Musa memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi di sini terhadap Juhar dan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagi memohon pengisytiharan bahawa beliau kekal sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah.

Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah di hadapan Juhar pada 10 Mei selepas memperoleh majoriti mudah 31 daripada 60 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 apabila dua wakil rakyat pembangkang mengisytiharkan sokongan kepada BN Sabah yang memenangi 29 kerusi.

Bagaimanapun dua hari kemudian, Mohd Shafie mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri apabila mendapat majoriti mudah membentuk kerajaan selepas beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN beralih sokongan kepada Warisan dan gabungan Pakatan Harapan, yang juga memenangi 29 kerusi.

-- BERNAMA