Polis Sabah berjaya mematahkan cubaan menyeludup 7.2 kilogram dadah jenis syabu dengan penahanan dua lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata, kesemua dadah yang bernilai RM500,000 itu ditemukan pada beg galas yang dibawa oleh kedua-dua suspek.

Menurutnya, dadah yang disimpan dalam tujuh bungkusan itu cuba diseludup dari Senai, Johor.

“Kita telah buat tangkapan  dua orang suspek  ini. Kira-kira  tiga  jam kemudian, kita telah membuat dua lagi  tangkapan yang disyaki ada kaitan dengan  sindiket ini.

"Jadi keseluruhannya, empat lelaki  ditangkap berumur antara 27 hingga 39 tahun, tiga daripadanya  warga tempatan dan seorang warga asing," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kepayan IPK hari ini.

Polis  masih sedang mengesan saki baki anggota sindiket pengedaran dadah tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sehingga 14 Ogos tahun ini, Polis Sabah merekodkan  92 kes dadah di bawah  akta sama yang membawa hukuman gantung mandatori.

Ia mencatatkan peningkatan berbanding 52 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.