Polis sudah bersedia untuk menghadapi sebarang ancaman dari penjenayah siber dikenali sebagai Anonymous Malaysia yang dijangka merancang untuk menggodam laman web agensi kerajaan pada 29 dan 30 Ogos ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis memandang serius ancaman berkenaan dan kini dalam peringkat untuk mengenalpasti identiti penyerang terbabit yang berkemungkinan mempunyai jaringan dengan penjenayah siber antarabangsa.

Menurutnya, tindakan sewajarnya akan dibuat mengikut peruntukan undang-undang bagi mengekang serangan berkenaan.

"Kita telah mula menyiasat tentang Anonymous Malaysia ini. Kita tidak mengambil ringan ancaman Anonymous Malaysia ini.

"Kita menyiasat dan kita juga telah mengambil langkah yang patut dalam kita menjaga laman web kita dan juga aplikasi yang lain. Kita akan cuba kenal pasti Anonymous Malaysia ini," katanya pada sidang media selepas menutup Peringatan Hari Polis ke-208, pada Khamis.

Mengulas mengenai kemungkinan serangan siber itu mempunyai kaitan dengan Perhimpunan Bersih 4 berikutan tarikh yang sama, Khalid berkata, tiada kepastian mengenai kaitan itu setakat ini.

Sebelum ini, satu video dipercayai oleh kumpulan penggodam iaitu Anonymous Malaysia, dimuat naik di media-media sosial dengan ancaman untuk melancarkan peperangan melalui internet bagi menyokong perhimpunan yang dirancang pada tarikh terbabit.