Polis Selangor berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas empat lelaki ditahan dalam satu serbuan kenderaan di Jalan Gasing, Petaling Jaya pada Ahad.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd serbuan dijalankan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor kira-kira jam 8.45 malam selepas menerima maklumat berkenaan sindiket itu.

Ketika serbuan, tiga lelaki tempatan dan seorang lelaki warganegara Thailand ditahan.

Pemeriksaan pada kenderaan suspek itu, membawa penemuan 40 bungkusan plastik teh Cina yang berisi dadah disyaki jenis Syabu seberat 42 kilogram bernilai RM2.1 juta.

Kesemua suspek berusia 28 hingga 39 tahun itu direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

Hasil siasatan mendapati sindiket itu aktif sejak lapan bulan lalu dan dalam perjalanan ke utara tanah air dipercayai untuk menghantar dadah berkenaan.

Tiga daripada suspek didapati positif dadah selepas ujian saringan air kencing dijalankan.

Turut dirampas dua buah kenderaan jenis Honda Jazz dan Perodua Myvi, 11 utas jam tangan, wang tunai RM127,725 dan matawang Thailand sebanyak 7,290 bath.

Kesemua barangan rampasan berjumlah hampir RM260,000.

"Mereka (suspek) ini adalah penghantar sindiket penjualan dadah. Mereka ini mengedar dadah dari satu negara ke negara lain.

"Adakah dadah ini untuk pasaran di Malaysia atau luar negara, kita akan tunggu siasatan lanjut." katanya dalam sidang media di IPK Selangor pada Selasa.

Ia merupakan tangkapan terbesar dicatatkan oleh Kontinjen Selangor pada awal tahun ini.

Tambah Mohd Khalil, pihaknya akan meneruskan OPS Ice Breaker dalam mengekang pengedaran dan penjualan dadah di negara ini.