Polis Selangor membuka 144 kertas siasatan kes penipuan jualan penutup hidung dan mulut secara dalam talian membabitkan kerugian lebih RM1.5 juta dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, setakat Ahad polis berjaya menahan 20 individu dipercayai terlibat dalam jenayah itu.

Ekoran itu beliau menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam membuat pembelian dalam talian.

"Orang ramai boleh membuat semakan di http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi mendapatkan pengesahan mengenai akaun penjual sebelum membuat pesanan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini pada Isnin.

Muhammad Yazid memberitahu, penipuan sindiket kini bertumpu kepada penutup hidung dan mulut memandangkan produk itu mendapat permintaan tinggi orang ramai ketika penularan jangkitan COVID-19.

Muhammad Yazid juga menasihatkan orang ramai supaya membuat pembelian di aplikasi atau laman web yang mempunyai ciri-ciri keselamatan selain memilih kaedah pembayaran secara tunai ketika barang tersebut sampai.

Dalam pada itu katanya, daerah Klang Utara menyaksikan jumlah tertinggi individu yang dikenakan kompaun kerana ingkar PKP di Selangor dengan 109 notis dikeluarkan diikuti Klang Selatan (108 notis) dan Serdang (100 notis) .

Sementara itu, katanya, Kuala Selangor (13 kompaun) dan Hulu Selangor (15 kompaun) manakala KLIA tiada langsung notis dikeluarkan.